Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun
yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya
beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang
diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada.
Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar
berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam
gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di
jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak
juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat
ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di
bumi Allah ini.

Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa
melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan
sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku
yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak
sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik
Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap
langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah
yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama…
Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian,
Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku
berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat
kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum,
tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka
pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum
mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam
penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
“Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?”
Aku menjawab tenang.. “Warna putih, bersih…”
“Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat.”
“Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan.”
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu… helaian demi helaian
naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam
Pertama… Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu
saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah
juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari
bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke
belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku
mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam
al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah
yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh.
Mudah-mudahan aku tenang… As-Syifa’ aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora
hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini
rasanya orang-orang yang mendahului.

“Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?”
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku
masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat
penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara
aku dan keluarga.
“Insya Allah, ‘dia’ tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan
Allah. Itu yang paling utama.”
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata
mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
“Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!”
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan
ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang
berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan ‘dia’ yang mendekatkan
aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap
waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa’ ku al-Quran, tidak
lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan
akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

“Bila enti menikah?”
Aku tiada jawapan khusus.
“Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu…” Aku masih
menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar
aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
“Jemput ana tau!” Khalilah tersenyum megah.
“Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana
banyak-banyak!” Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu
melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya
sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
“Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti…”

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan
tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung
aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti
orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan
aku katakan sekali lagi kepada ibu…
“Usah berlebihan ya…”
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
“Insyirah, jom makan!”
Aku tersenyum lagi… Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
“Tafaddal, ana puasa.”
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
“Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat… Tarikhnya
tak tetap lagi ke?”
“Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi.”

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku
sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan
penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan
terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku,
itu sahaja.

……………………..
………….
“innalillahi wainna ilaihi rajiun…”
“Tenangnya… Subhanallah. Allahuakbar.”
“Ya Allah, tenangnya…”
“Moga Allah memberkatinya….”

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian.
Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak
menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok ‘dia’ yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok ‘dia’ yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil ‘ibrah dari sosok ‘dia’ yang
mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar…
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku… Sentiasa
ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam
rafa’nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya
merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

“Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan ‘dia’ yang
mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa,
yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku
tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau
redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai
sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui…”

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian…
“Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?”
Ibu tenang menjawab... “Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang
yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat
pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya
beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh.”

“Allahuakbar…” Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
“Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama…”
Ibu angguk, tersenyum lembut… “Ini nak, bukunya.” Senaskah buku
bertukar tangan, karangan Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk
‘Malam Pertama di Alam Kubur’.
“Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis… Khalilah tak tahu mak cik.”
“Dan sejak dari hari ‘khitbah’ tersebut, selalu Insyirah mahu
berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan…”
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap
kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

“Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan
satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan
MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku
kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku
bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang
perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil ‘ibrah
bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,
seteguh dan setabah hati seorang ibu.”

Semoga bermanfaat..

mencintai kalian~
9.25 pm
holberry, sheffield


This entry was posted on Wednesday, December 14, 2011 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin